Calon Timbalan Speaker mesti beretika dan adil, kata Majlis Profesor Negara

Calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu terdiri daripada individu beretika dan adil, kata Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Shamsul Amri Baharuddin.

Ini kerana, katanya, individu itu tidak boleh memihak kepada pihak yang menyokong pelantikannya kelak, atas dasar terhutang budi

“Pada saya, yang penting ialah orang itu terbukti beretika dan dia tidak akan sokong mana-mana pihak dirasakan dia telah terhutang budi, itu tidak boleh.

“Dia harus berpendirian dan bercakap ‘ini tanggungjawab saya’, selepas angkat sumpah ‘ini kerja saya’, kalau sesiapa tidak puas hati (dengan pelaksanaan tanggungjawab yang diberi) boleh buat bantahan supaya dia boleh letak jawatan,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama bertajuk “Transformasi Parlimen 62 tahun: Antara kenal huruf atau celik politik” malam ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengesahkan dirinya dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, manakala blok pembangkang dilapor mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *