CCTV dedah penjenayah pecah rumah, curi kereta

TAWAU: Seorang lelaki diburu selepas aksinya pecah masuk rumah dan mencuri kenderaan jenis Toyota Hilux Ravo di Taman Megah Jaya 9, di sini, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Kejadian itu berlaku minggu ini selepas pengadu mendapati pagar dan pintu rumah utama dalam keadaan terbuka.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan pacuan empat roda yang parkir di dalam kawasan rumah hilang selain rumahnya dalam keadaan berselerak.

Susulan itu, pengadu tampil membuat laporan polis pada 30 Disember lalu di Balai Polis Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta memaklumkan kepada pihak polis.

“Orang ramai boleh tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau atau menghubungi Asisten Superintendan Polis (ASP) Maliki Majuni di talian 013-8198121 atau 089-772121 bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X