KOTA KINABALU: Kegembiraan seorang remaja lelaki warga asing mandi-manda di pantai Karambunai, Jalan Sepanggar, di sini, bertukar tragedi apabila ditemui lemas, hari ini.
Mangsa Mazlan Abdullah, 18, ditemui oleh ahli keluarganya dan dibawa ke Hospital Likas sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.22 tengah hari.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi kejadian.
“Menurut pemanggil, terdapat seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di pantai berkenaan.
“Mangsa telah ditemui oleh keluarganya dan dibawa ke Hospital Likas sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba hanya mengambil maklumat di lokasi kejadian dan tiada operasi dilakukan.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian menghubungi hospital untuk mendapatkan kepastian status mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.37 tengah hari,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad