KOTA KINABALU: Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei tidak ketinggalan untuk mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh penduduk Sabah dan Sarawak.
Menerusi hantarannya di Facebook, bekas pemain nombor satu dunia itu turut memuji semangat perpaduan yang ada di dua negeri berkenaan dan menyifatkan ia adalah contoh terbaik slogan 1Malaysia yang pernah dilaungkan sebelum ini.
“Penghujung Mei salah satu waktu yang sentiasa menjadi kegemaran bagi saya. saya pernah lawat perkampungan budaya di Kota Kinabalu sewaktu Kaamatan, memang menyeronokkan.
“Orang ramai semua menyambutnya dengan gembira, (ada) gerai-gerai, BBQ, menyanyi, menari, persembahan budaya, permainan dan Unduk Ngadau!,” katanya.
Chong Wei berkata, beliau juga kagum kerana perayaan itu bukan saja disambut pelbagai lapisan masyarakat, malah dapat duduk semeja walaupun berbeza kaum dan agama.
“Bahagian paling menarik (sempena Kaamatan) ialah semua orang berkongsi meja! Berbilang kaum dan agama semuanya datang menyambut pesta menuai itu, ianya sangat indah, saling menghormati budaya masing-masing, ia kali pertama saya merasakan 1Malaysia wujud,” katanya.
Di penghujung hantaran beliau, Chong Wei turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dalam bahasa Kadazandusun serta Iban, salah satu bahasa suku kaum di Sarawak.
Beliau juga turut menyelitkan nasihat agar orang ramai terus berwaspada dengan wabak Covid-19 serta menjaga penjarakan sosial.-http://beritasabah.com

More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee