Clarivate Analitik iktiraf penyelidik UMS dalam IOT dan Cloud Computing

KOTA KINABALU: Clarivate Analitik baru-baru ini telah mengumumkan Dr Abdulah Gani, 64, Profesor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai Top 1% Highly Cited Researcher bagi tahun 2020.

Berita gembira tersebut telah dikongsikan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Taufiq, pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi UMS untuk tahun 2020 yang penuh dengan cabaran.

“Ia bukan sahaja telah mengharumkan nama universiti dan negara hingga ke persada dunia tetapi sekali gus membuka mata masyarakat global bahawa kita di UMS juga mempunyai kualiti pensyarah atau penyelidik yang bertaraf antarabangsa.

“Saya ucapkan tahniah kepada Profesor Dr Abdullah Gani atas pencapaian ini, dan sudah pasti ini akan menjadi suntikan dan pembakar semangat untuk kakitangan lain agar terus berdaya maju dalam bidang masing-masing,” katanya.

Clarivate merupakan sebuah syarikat peneraju global dalam memberikan pandangan dan analitik yang dipercayai dengan visi untuk memperbaiki cara dunia mencipta, melindungi, dan memajukan inovasi.

Sementara itu Abdullah ketika dihubungi berkata, pengiktirafan yang diterima diperoleh menerusi penyelidikan yang itu berkisar kepada Internet Pelbagai Benda (Internet of Things – IoT) dan Pengkomputeran Awam (Cloud Computing) dengan pengkhususan kepada Mobile Cloud Computing.

Prof. Dr Abdullah Gani

Mobile Cloud Computing merupakan kombinasi antara Cloud Computing dengan Mobile Devices.

“Isu utama penyelidikan saya adalah bagaimana keupayaan tinggi Cloud Computing itu dapat dimanfaatkan oleh Mobile Devices seperti telefon pintar yang mempunyai keupayaan pemprosesan dan storan agak terhad. Asynchronous offloading ialah kaedah yang dapat menyelesaikan masalah tersebut.

“Ketika menerima berita pengiktirafan ini, saya amat bersyukur dan gembira. Kegembiraan itu lebih bermakna kerana ia dapat meletakkan nama negara dan UMS dipersada dunia,” tambahnya.

Ketika diminta berkongsi rahsia di sebalik kejayaan tersebut, Abdullah yang juga Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS memaklumkan bahawa menghasilkan sumbangan ilmiah yang bermutu dalam kerja penyelidikan sentiasa menjadi keutamaan beliau.

“Sebenarnya sepanjang keterlibatan dalam aktiviti penyelidikan, soal tentang pengiktirafan tidak menjadi perhatian bagi saya.

“Namun, rupanya kunci keutamaan ini telah melayakkan saya untuk menerima beberapa pencapaian termasuk pengiktirafan sebagai penyelidik 1% teratas yang paling banyak dipetik pada tahun 2020.

“Keupayaan mengasingkan emosi dan profesionalisme supaya berada di tempat sepatutnya juga merupakan ramuan penting dalam mencapai kejayaan kerana ia adalah faktor utama yang berkuasa mengawal perilaku seseorang,“ jelas Abdullah.

Anak keempat dari 10 adik beradik ini turut menyuarakan harapan agar semua pihak sentiasa mempunyai jati diri yang tinggi bagi menggarap kejayaan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk negara bangsa tercinta.

“Kejayaan ini amat penting agar erti kemerdekaan yang sebenar dapat diterjemahkan. Sumbangan ilmu pengetahuan dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara luar dan seterusnya mencapai kedaulatan negara,” katanya.

Untuk rekod, Abdullah turut diiktiraf sebagai Saintis 2% Teratas Dunia Tahun 2020 oleh Stanford University, dan disenaraikan oleh Guide2Research sebagai Saintis Komputer pada kedudukan ranking yang pertama di Malaysia.

Beliau juga mempunyai pencapaian membanggakan apabila berjaya mengubah budaya penyelidikan kepada penerbitan berkualiti tinggi di jurnal berimpak tinggi dengan kadar perubahan mencapai 800%.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *