Kecuali Sarawak, semua pelajar IPT buli balik kampung sambut Raya

Enam kategori pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang sebelum ini dibenarkan ke kampus secara fizikal, dibenar pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri, kecuali mereka dari Sarawak.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan berkata, kebenaran itu selaras kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini kepada sektor pendidikan.

“Pelajar IPT juga diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

“KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal,” menurut kenyataan itu.

Katanya, tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 hingga 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali semula ke kampus pada 15 hingga 20 Mei 2021.

Selain itu, pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

“Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT, manakala pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

Sehubungan itu, pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) pergerakan pelajar IPT pulang sempena cuti perayaan Aidilfitri dan dokumen soalan lazim yang disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

Pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

Sebelum ini, KPT mengumumkan enam kategori pelajar institusi pendidikan tinggi dibenarkan ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac lalu bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian.

Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

Kedua membabitkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian, seterusnya pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

Bagi kategori keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom; kategori kelima ialah pelajar Berkeperluan Khas (OKU), dan terakhir ialah pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *