KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata lebih 60 peratus daripada kes Covid-19 di negeri ini merupakan jangkitan dari dalam negeri yang kebanyakannya terdiri daripada kontak rakyat Sabah yang baru pulang dari Semenanjung.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membahagikan kes jangkitan Covid-19 kepada empat kategori iaitu Kes Import A, membabitkan rakyat Sabah yang baru pulang dari luar negara dan mendapat jangkitan dari negara lain seperti Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Indonesia.
Kes Import B paling banyak
“Kes Import B pula membabitkan rakyat Sabah yang baru pulang dan mendapat jangkitan dari luar negeri terutamanya dari Semenanjung Malaysia, Kes Import C, membabitkan kes jangkitan (dalam negeri) tetapi dikesan di luar daerah tempat pesakit bermastautin, dan kategori keempat adalah Kes Tempatan iaitu jangkitan dalam daerah tempat pesakit bermastautin.
“Oleh itu majoriti daripada kes jangkitan dalam di Sabah adalah merupakan kontak kepada Kes Import B iaitu mereka yang dijangkiti di semenanjung dan baru pulang ke Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
1,148 pelajar balik Sabah
Dr Christina berkata tiada kes baharu dilaporkan semalam dan jumlah kes bagi negeri Sabah kekal 343.
Sementara itu, beliau berkata penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Sabah turut disambung semula semalam melalui empat penerbangan sewa khas yang membawa seramai 1,148 pelajar.
Dr Christina berkata kesemua pelajar ini akan diperiksa oleh petugas kesihatan di pintu masuk lapangan terbang.
“Pihak JKNS memohon kerjasama semua pihak untuk memastikan pengurusan pergerakan pulang pelajar berjalan dengan lancar,” tambahnya.-http://beritasabah.com

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad