UNDUK NGADAU 2020, MOSITUN SELAR KEPUTUSAN PETER

KOTA KINABALU: Ahli seumur hidup KDCA, Datuk Johnny Mositun mempersoalkan keputusan jawatankuasa penganjur Pesta Kaamatan negeri mengadakan pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA pada 31 Mei nanti.

Beliau berkata, walaupun jawatankuasa yang diketuai Datuk Peter Anthony itu menjelaskan pertandingan akhir itu nanti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk megehadkan kehadiran tidak lebih daripada 50 orang dalam dewan, Mositun memberi amaran kemungkinan perkara lain boleh terjadi.

“Pertandingan Unduk Ngadau sebagai acara utama Pesta Kaamatan sentiasa menarik perhatian ramai. Walaupun tidak sampai 50 orang dibenarkan berada dalam dewan Hongkod Koisaan nanti tetapi bagaimana pula di luar dewan?

“Adakah ahli keluarga dan para penyokong peserta akan dilarang daripada menunggu di luar dewan?” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tindakan tidak rasional

Mositun berkata, beliau gagal melihat rasional disebalik tindakan jawatankuasa itu yang diketuai oleh Datuk Peter Anthony yang mendesak mahu mengadakan pertandingan itu walaupun rakyat masih bergelut dengan masalah Covid-19.

“Sejak pengumuman Peter semalam, saya menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang begitu bimbang dan mereka percaya ianya membawa risiko kesihatan,” katanya.

Jelas kata Mositun, keputusan Peter meneruskan acara kebudayaan masyarakat KDM ini tanpa memikirkan perasaan orang ramai.

“Sebagai langkah mengawal penularan pandemik Covid-19, Hari Raya Aidilfitri tahun ini dirayakan dengan cara amat berlainan sehingga ibadah sembahyang di pagi Raya pun ditiadakan.

“Bukan sahaja itu, penganut agama lain di negara ini turut dilarang daripada menjalankan ibadah di tempat sembahyang masing-masing sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jika masyarakat dapat bertahan daripada menghadiri upacara keagamaan yang begitu penting demi mencegah penularan coronavirus, saya fikir bukanlah menjadi satu masalah besar sekiranya kita terlepas pertandingan Unduk Ngadau atau Sugandoi untuk sekali ini sahaja,” katanya.

Final di KDCA

Dalam pengumumannya, Peter berkata mereka yang berminat menyertai pertandingan Unduk Ngadau boleh menghantar video rakaman mereka untuk diletakkan dalam Facebook Page pertandingan, di mana pemilihan Top Seven (tujuh peserta teratas) akan diundi secara online pada 29 Mei nanti.

Tujuh peserta terbaik akan berentap dalam pusingan akhir di Hongkod Koisaan, KDCA pada 31 Mei.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *