COVID-19 : EMPAT DARIPADA ENAM KES SEMALAM ADALAH KES IMPORT

KOTA KINABALU: Empat daripada enam kes Covid-19 baharu yang dicatat di Sabah, semalam, adalah kes import yang dikesan menerusi sampel daripada pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan, berkata, kesemua empat kes terbabit telah menaiki pesawat komersil dari Kuala Lumpur dan telah ditempatkan di pusat kuarantin setibanya di Kota Kinabalu.

“Dua kes tinggal di Selangor dan dua kes lagi di Johor. Pada 18 Mei 2020, mereka telah dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Christina berkata, kes baharu yang dicatatkan di Tuaran disahkan positif Covid-19 ketika dimasukkan di QEH untuk rawatan lanjut manakala kes di Kinabatangan merupakan kontak serumah kepada kes positif sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan kebanyakan kes-kes baru yang dilaporkan di Sabah adalah kes import iaitu kes yang mendapat jangkitan dari luar negeri.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar rakyat di negeri ini tidak leka dengan situasi semasa.

“Wabak ini belum berakhir dan kita harus sentiasa bersedia” tambahnya lagi.-http://beritasabah.com