COVID-19 : HANYA EMPAT KES DI MALAYSIA HARI INI

KOTA KINABALU: Hanya empat kes Covid-19 baharu dicatatkan di negara ini, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 8,600.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya, hari ini, berkata daripada empat kes baru yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Satu kes penularan di dalam negara juga merupakan warganegara Malaysia, iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.

“Tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dikesan pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham turut memaklumkan seramai 40 lagi pesakit telah sembuh dan discaj, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 8,271 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Oleh itu, katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 208 kes dan semua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, setakat, jam 12 tengah hari tadi, terdapat dua kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.-http://beritasabah.com