RM7.5 JUTA LAKSANA PROJEK PERTANIAN, AGROMAKANAN

KOTA KINABALU: Sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pertanian dan agromakanan di Sabah dalam usaha memulihkan sumber ekonomi para petani dan peladang yang terjejas berikutan penularan Covid-19.

Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Norlizah Mohamad, berkata berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM70 juta diperuntukkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi bagi melaksanakan program-program terbabit termasuk menaik taraf jentera serta meningkatkan mobilisasi dan logistik bahan makanan.

“Daripada jumlah itu, Norlizah berkata, sebanyak RM330,000 diperuntukkan bagi menaik taraf jentera pertanian sedia ada terutama untuk perusahaan sawah padi bagi memastikan ia lebih efisien.

“RM4.745 juta pula diperuntukkan bagi dana khas projek agromakanan yang dijangka seramai 261 petani selaku pelaksana projek akan menerima manfaat secara langsung menerusi peruntukan itu,” katanya dalam satu sidang media sini, malam tadi.

Beliau berkata LPP juga mempunyai peruntukan bagi B40 iaitu mereka yang berpendapatan di bawah RM4,300.

“Bagi Sabah, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan untuk 100 orang (petani dan peladang) bagi melaksanakan projek tanaman kontan,” tambahnya.

Sementara itu, Norlizah, berkata LPP turut menyediakan peruntukan RM996,500 bagi program peningkatan mobilisasi dan logistik bahan makanan di Sabah merangkumi usaha meningkatkan kapasiti pusat pengumpulan hasil supaya produk para petani dan peladang dapat dijual di pasaran.

“Saya berharap golongan petani dan peladang di Sabah yang menerima manfaat peruntukan itu dapat melaksanakan projek pertanian dan agromakanan jangka pendek terbabit secara berterusan dan bersungguh-sungguh bagi memastikan pulangan pendapatan lumayan berterusan.

“Kita juga berharap projek ini dirancang dan dilaksanakan dengan baik berdasarkan panduan serta khidmat nasihat daripada semua agensi termasuk LPP,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *