COVID-19 : HANYA TIGA KES DI MALAYSIA, KLUSTER PERHIMPUNAN DI SERI PETALING TAMAT

KOTA KINABALU: Hanya tiga kes Covid-19 baharu dicatatkan di negara ini, hari ini, dengan kesemuanya adalah membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata pertambahan itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 yang pernah direkodkan setakat ini sebanyak 8,677 kes.

“Sukacita dimaklumkan bahawa tiada kes penularan di dalam negara yang dilaporkan pada hari ini.

“Ketiga-tiga kes baru yang dilaporkan adalah kes import di kalangan warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya.

Sementara itu, seramai lima lagi pesakit telah pulih dan discaj, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 8,456 atau 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ia juga menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 70 kes.

Kesemua pesakit berkenaan telah diasingkan dan diberi rawatan dengan dua pesakit kini diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang daripadanya diberikan bantuan pernafasan.

Noor Hisham turut memaklumkan tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan sekali gus menjadikan jumlah maut akibat wabak itu, kekal 121 kes untuk 24 hari berturut-turut.

Katanya lagi, kluster Covid-19 terbesar di Malaysia, iaitu kluster perhimpunan Seri Petaling diisytihar tamat, hari ini.

“Kluster ini besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.

“Penularan jangkitan Covid-19 melalui kluster ini telah menular ke seluruh negara Malaysia,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *