JPNS AKAN BIMBING SEKOLAH AGAR PATUH SOP

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) kini dalam fasa membimbing kesemua sekolah di negeri ini agar dapat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum memulakan sesi persekolahan.

Pengarahnya Dr Mistirine Radin berkata untuk memberi bimbingan terdapat pegawai daripada JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) datang ke setiap sekolah untuk berjumpa dengan pengetua dan guru besar untuk membincangkan mengenai SOP yang perlu dipatuhi.

“Setakat ini proses bimbingan berkenaan berjalan dengan lancar dan kita percaya kesemua lebih 1,000 sekolah di Sabah bersedia memulakan sesi persekolahan yang dijadualkan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Guru 2020 Peringkat Negeri Sabah, di sini hari ini.

Pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan kelas peralihan, serta murid Tahun 5 dan 6, akan bermula bersekolah pada 15 Julai ini. Manakala murid Tahun 1 hingga 4 sekolah rendah pula boleh mula ke sekolah pada 22 Julai ini.

Mistirine berkata untuk memulakan sesi persekolahan pihak sekolah juga perlu memilih model yang sesuai untuk memastikan SOP yang ditetapkan iaitu jumlah murid dalam kelas tidak melebihi daripada yang telah ditetapkan.

“Terdapat tiga model yang boleh dipilih oleh sekolah-sekolah mengikut kesesuaian iaitu model pertama sesi bagi sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, selepas mengambil kira penjarakan sosial.

“Model kedua, iaitu Model Dua Sesi bagi sekolah sedia ada yang sudah beroperasi secara dua sesi atau pun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

“Model ketiga, iaitu Model Penggiliran untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid, walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.

“Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini ialah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi dan setakat ini hanya 10 sekolah di Sabah yang terpaksa menggunakan model ini,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *