KOTA KINABALU: Empat lagi kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Malaysia hari ini menjadikan jumlah keseluruhan ketika ini sebanyak 19 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian ke-16 merupakan kes ke-1334, lelaki warganegara Malaysia berumur 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.
“Kes kematian ke-17 merupakan kes ke-1251, lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun. Beliau juga mempunyai latar belakang penyakit kronik dan disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif Covid-19.
“Kes kematian ke-18 merupakan kes ke-1625, lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun. Beliau turut mempunyai latar belakang penyakit kronik.
“Kes kematian ke-19 merupakan kes ke-1246, perempuan warganegara Malaysia berumur 68 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Johor pada 19 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di ICU dan kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nor Hisham berkata, jumlah kes Covid-19 setakat tengah hari tadi adalah 1,796 kes seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada jam 1 petang tadi.
Noor Hisham turut mengumumkan sebanyak 172 kes baru dicatatkan.
Daripada jumlah kes baru berkenaan, 71 telah dikesan berasal dari kluster kumpulan tabligh di Sri Petaling , Kuala Lumpur yang berhimpun lewat bulan lalu.
Dr Noor Hisham berkata sumber jangkitan bagi kes selebihnya iaitu sebanyak 101 masih disiasat.
Beliau turut mengumumkan 73 anggota KKM positif Covid-19. Sehubungan itu, katanya seramai 1,895 anggota kesihatan telah menjalani ujian saringan bagi mengesan Covid-19.
Daripada jumlah itu, 1,187 negatif manakala 708 masih menunggu keputusan./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ