COVID-19 : KEMATIAN PERTAMA DI SABAH

KOTA KINABALU: Sabah mencatat kematian pertama Covid-19 membabitkan seorang lelaki di Tawau, hari ini.

Lelaki berusia 58 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 6.27 petang, di Hospital Tawau.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Bartuk ini adalah peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dan dia adalah pesakit pertama yang disahkan positif Covid-19 di Sabah.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan satu kematian Covid-19 (kes ke-152) pada hari ini iaitu pada jam 6.27 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian COVID-19 setakat ini tiga kes.

“Kes ke-152 ini merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac 2020 dengan mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection. Beliau telah diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020 pada jam 6.27 petang. Takziah diucapkan kepada keluarga arwah,” katanya./BERITA SABAH