COVID-19 : KERAJAAN SABAH UMUM RM670 JUTA RINGANKAN BEBAN RAKYAT

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah berjumlah RM670 juta bagi meringankan beban ekonomi rakyat Sabah yang terjejas daripada penularan wabak berkenaan.

Pakej bantuan yang diumumkan Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah dilihat menyeluruh untuk membantu semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40 dan golongan rakyat termiskin yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.

Antara berita gembira yang sudah semestinya dinanti-nantikan rakyat Sabah adalah pengecualian pembayaran bil air dan pemberian diskaun 30 peratus bil eletrik dan kedua-duanya berkuatkuasa selama tiga bulan mulai April ini, selain pengecualian daripada membayar sewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk tempoh 6 bulan.

Ketika mengumumkan pakej bantuan berkenaan, Shafie berkata terdapat 15 langkah yang dirangkumkan dibawah pakej berkenaan melaui tiga kategori iaitu, bantuan kepada petugas barisan hadapan, bantuan kepada rakyat yang terjejas dan memperkukuhkan perniagaan serta menambahbaik kualiti infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar.

Katanya dalam kategori pertama terdapat dua langkah yang akan dilaksanakan melalui pakej bantuan berkenaan iaitu Peruntukan Khas Sebanyak RM50 juta bagi membiayai perbelanjaan kecemasan Covid-19 dan peruntukan RM10 juta untuk bantuan makanan dan keperluan kepada golongan petugas di barisan hadapan.

“Dalam kategori kedua iaitu bantuan kepada rakyat yang terjejas, terdapat 10 langkah atau bantuan yang disalurkan termasuk pengecualian bil air dan pemberian diskaun elektrik.

“Antara lain yang yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam kategori kedua ialah menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada golongan yang terjejas secara langsung oleh wabak pandemik berkenaan,” katanya.

Shafie berkata selain itu peruntukan RM RM20 juta juga disediakan untuk Elaun Bantuan Khas kepada golongan miskin dan miskin tegar dan RM80 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40.

Beliau berkata dalam kategori ketiga iaitu memperkukuhkan perniagaan dan menambahbaik kualiti kemudahan asas luar bandar pakej ini akan melaksanakan tiga bantuan iaitu peruntukan RM40 juta untuk Skim Kredit Mikro bagi membantu Peniaga-Peniaga Kecil.

“Sebanyak RM200 juta juga diperuntukkan untuk menanbahbaik infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar di seluruh Sabah serta peruntukan RM50 Juta untuk dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah,” tambahnya.

Sehubungan itu, Shafie berharap agar langkah-langkah yang diperkenalkan melalui Pakej Bantuan Covid-19 tersebut dapat membantu menangani dan mengurangkan beban, tekanandan impak negatif penularan wabak kepada rakyat secara berkesan, khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini./BERITA SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *