SEDIAKAN GARISAN UNTUK JARAKKAN PEMBELI

SANDAKAN: Semua pengusaha premis di daerah ini diwajibkan menyediakan garisan untuk menjarakkan pembeli serta, tempat berbaris di luar premis serta menghadkan bilangan pembeli yang masuk ke dalam kedai.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Wong Foo Tin, berkata pemantauan selama beberapa hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan mendapati masih terdapat pengusaha pasar raya, kedai runcit dan farmasi tidak melaksanakan penjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bagi setiap pembeli terutama di kaunter bayaran dan pelanggan yang berbaris di luar premis.

Katanya, kawalan terhadap bilangan pelanggan yang masuk ke dalam kedai pada satu masa juga belum dilaksanakan sepenuhnya.

“Justeru, pengusaha diminta menghadkan tidak lebih lima pelanggan yang dibenarkan masuk ke dalam premis pada satu masa. Ini bertujuan untuk mengelak kesesakan dan sentuhan antara pembeli.

“Kita memandang serius terhadap perkara ini dan meminta semua pengusaha mematuhi peraturan dan langkah keselamatan seperti mana yang ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Foo Tin berkata, sebagai langkah tambahan juga, semua pengusaha diminta menyediakan termometer di semua pintu masuk premis bagi memastikan pelanggan berada dalam keadaan sihat, sekali gus mengelak kemungkinan penyebaran penyakit kepada pelanggan lain.

Katanya, semua juruwang juga diminta memakai topeng muka dan menggunakan sarung tangan serta membersihkan tangan selepas melayan pelanggan atau memegang wang.

“Penyediaan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan yang masuk adalah digalakkan sebagai satu langkah pencegahan.

“Kita harap masyarakat di daerah ini memberi kerjasama dan melaksanakan penjarakkan sosial antara satu sama lain,” katanya./BERITA SABAH