COVID-19: Kes melonjak ke 20,696, KKM harap dapat kawal peningkatan tanpa perlu PKP

PUTRAJAYA: Tiada perancangan untuk memperkenalkan semula sebarang sekatan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), biarpun terdapat peningkatan jumlah kes COVID-19 baharu yang dicatatkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini KKM mengambil pendekatan memperkukuhkan pelan pengurusan COVID-19 melalui lima strategi utama – pemerkasaan awal; pemerkasaan komuniti melalui TRIIS; pemantauan fasiliti kesihatan; komunikasi risiko berkesan; dan pendigital sistem kesihatan melalui MySejahtera.

Selain itu, Ahli Parlimen Selangor itu berkata, buat masa ini tiada varian baharu dikesan melainkan penularan varian sedia ada iaitu Omicron, dan sub kepada varian Omicron.

“Saya harap akan ada clarity (penjelasan) dalam unjuran ke hadapan, bagaimana kami letakkan strategi KKM dalam menghadapi lonjakan COVID-19 atau surge, yang juga diperhatikan di negara jiran.

“Malaysia (memang) sedang menghadapi peningkatan kes yang mendadak, dan KKM harap situasi ini dapat dilalui tanpa perlu kita ulangi sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku pada awal pandemic COVID-19.

“Tidak mengulangi PKP kerana ada yang bertanya dalam ciapan laman X, apakah banyak kegusaran di situ, jadi saya jelaskan, tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP,” katanya kepada sidang media khas di Putrajaya, sempena peningkatan kes COVID-19.

-Awani