COVID-19: Penurunan sebanyak 636 kes baharu di Sabah

KOTA KINABALU, 25 Feb — Sabah melaporkan sebanyak 4,256 kes baharu positif COVID-19 iaitu penurunan sebanyak 636 kes berbanding semalam (4,892).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,241 kes diikuti oleh Papar (370), Putatan (363), Penampang (345) dan Tuaran (308).

Sehubungan itu, peratusan jangkitan sporadik dalam komuniti kekal tinggi pada 65.48% yang menjadi punca utama jangkitan baharu di 20 daerah di Sabah.

Di samping itu, tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan hari ini, bagaimanapun satu kluster telah diisytiharkan tamat iaitu Kluster Jalan Binunuk, menjadikan jumlah kluster aktif seluruh Sabah setakat ini sebanyak 41 kluster.

Sementara itu, sejumlah 36,382 kanak-kanak berumur antara 5-11 tahun berjaya diberi suntikan vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) Negeri Sabah, setakat hari ini.

Dalam jumlah kes hari ini, sebanyak 517 kes melibatkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum divaksin, dan 237 kes melibatkan kanak-kanak bawah umur lima tahun yang belum layak divaksin.

Sekali lagi rakyat dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan semasa berada di kawasan awam.