KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat pertambahan satu lagi kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sabah ketika ini sebanyak 348 kes.
Ini menjadikan jumlah kes aktif yang masih dirawat ketika ini sebanyak 11 kes berbanding 10, semalam, selepas tiada kes sembuh dicatatkan di negeri ini, hari ini.
Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung di Facebook beliau, sebentar tadi, menyaksikan pertambahan kes baharu itu dicatatkan di daerah Beaufort.
Ini juga bermakna Beaufort kembali ke zon kuning bagi kes aktif, menjadikan jumlah keseluruhan daerah yang masih mencatatkan kes aktif sebanyak tujuh daerah termasuk Tawau yang mencatat empat kes, Kota Kinabalu (2), Lahad Datu (1), Putatan (1), Tuaran (1), dan Ranau (1).
Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.
Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,044, Selangor (1,926), Negeri Sembilan (866), Johor (676), Sarawak (552) dan Pahang (361).-http://beritasabah.com
More Stories
Remaja ditemui tergantung di tiang besi
DBKK sita barangan penjaja, gagal kemuka lesen sah
Guna dokumen palsu kemuka tuntutan, pengarah operasi institut latihan didenda RM60,000