COVID-19: Sabah catat 79 kes baharu hari ini

KOTA KINABALU, 19 April – Sabah mencatatkan angka jangkitan baharu sebanyak 79 kes iaitu meningkat sebanyak 21 kes berbanding semalam (58).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Kota Kinabalu merupakan satu-satunya daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka di kedudukan tertinggi iaitu sebanyak 26 kes.

Kedudukan tersebut seterusnya diikuti oleh Sandakan yang melaporkan enam kes baharu, dan masing-masing lima kes di daerah Penampang, Beaufort dan Tuaran.

Sementara itu, 16 daripada 27 daerah di Sabah merekodkan satu atau dua kes baharu sahaja di daerah masing-masing, manakala terdapat empat daerah dilaporkan tiada kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Antara empat daerah tersebut ialah Beluran, Kunak, Nabawan dan Kalabakan.

Dalam pada itu, sebanyak 72 daripada 79 kes baharu hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, dua (2) kes dalam Kategori 3, tiga (3) kes dalam Kategori 4 dan dua (2) kes dalam kategori  5.

Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) secara serius bagi mengekang penularan virus dalam komuniti.