COVID-19 : Sabah kembali dibawah paras angka 50 sebanyak 48 kes

KOTA KINABALU, 25 April – Sabah kembali dengan trend penurunan jangkitan baharu dibawah paras angka 50 sebanyak 48 kes, iaitu menurun sebanyak 12 kes berbanding semalam (60).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, hanya Kota Kinabalu yang melaporkan kes dua angka iaitu 21 kes manakala daerah selebihnya mencatatkan angka kurang daripada lima kes.

Dalam pada itu, sebanyak 44 daripada 48 kes baharu hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, tiga (3) kes dalam kategori 4, satu (1) kes dalam kategori 5 dan tiada sebarang kes dalam kategori 3.

Difahamkan, statistik jangkitan yang rendah ini adalah hasil keberkesanan vaksin yang telah diberi kepada hampir keseluruhan penduduk yang layak di Sabah serta pematuhan SOP.

Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) secara serius bagi mengekang penularan virus dalam komuniti.