COVID-19 : Sabah mencatatkan 51 kes baharu hari ini

KOTA KINABALU, 26 April – Sabah mencatatkan angka jangkitan baharu sebanyak 51 kes iaitu meningkat sebanyak 3 kes berbanding semalam (48).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, hanya Kota Kinabalu yang melaporkan kes dua angka iaitu 13 kes manakala daerah selebihnya mencatatkan angka kurang daripada lima kes.

Dalam pada itu, sebanyak 49 daripada 51 kes baharu hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, tidak ada sebarang kes dalam kategori 3 dan masing-masing satu (1) kes dalam kategori 4 dan 5.

Bagaimanapun, secara keseluruhan kedudukan kekal stabil dengan perubahan turun naik kes harian pada tahap yang kecil dan terkawal.

Sementara itu, masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) secara serius bagi mengekang penularan virus dalam komuniti.