COVID-19: Sabah mencatatkan sebanyak 1,235 kes hari ini

KOTA KINABALU, 7 Mac — Sabah meneruskan trend penurunan dengan mencatatkan angka jangkitan baharu sebanyak 1,235 kes, iaitu penurunan sebanyak 280 kes berbanding semalam (1,515).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Kota Kinabalu melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 352 kes, diikuti oleh Papar (141), Penampang (128), dan Tuaran (117).

Sementara itu, peratusan kes sporadik simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik kekal menunjukkan angka tinggi iaitu 65.02% daripada keseluruhan kes baharu hari ini.

Bagaimanapun, tiada kluster baharu yang dilaporkan di Sabah setakat ini.

Dalam pada itu, sebanyak 1,221 kes hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, masing-masing lima (5) kes dalam kategori 3 dan 4, manakala empat (4) kes tergolong dalam kategori 5.

Selanjutnya, masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) secara serius bagi mengekang penularan virus dalam komuniti.