COVID-19: Sabah merekodkan 198 jumlah kes baharu hari ini

KOTA KINABALU, 5 April – Sabah mencatatkan angka jangkitan baharu sebanyak 198 kes iaitu meningkat sebanyak 58 kes berbanding semalam (140).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Kota Kinabalu melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 42, diikuti oleh penampang (29), Beaufort (27) dan Papar (14).

Sementara itu, peratusan jumlah kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik juga menunjukkan peningkatan iaitu 58 peratus (%) berbanding semalam (55%)

Bagaimanapun, tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 193 daripada 198 kes baharu hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, Tiga (3) kes dalam Kategori 4, dua (2) kes dalam Kategori 5 manakala tidak ada kes dalam Kategori 3.

Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) secara serius bagi mengekang penularan virus dalam komuniti.