Kerajaan setuju beri bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam & pesara

KOTA KINABALU, 5 April – Kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan kebawah.

Keputusan yang dipersetujui kerajaan itu termasuklah kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pesara kerajaan pula akan menerima RM250.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022.

“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail berkata, pemberian itu dibuat bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan Kerajaan dalam membantu mereka (penjawat awam dan pesara) membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.