TUARAN: Daerah Tuaran telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana 24 jam bagi memastikan masyarakat setempat sentiasa mendapat informasi terkini berhubung dengan usaha kerajaan membendung wabak pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, Bilik Gerakan tersebut berpusat di bangunan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tuaran dan dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Bilik Gerakan ini telah mula beroperasi pada 18 Mac 2020 dengan diketuai oleh Pengerusi Majlis Daerah Tuaran merangkap Pegawai Daerah, Mohd Sofian Alfian Nair.
“Antara agensi yang terlibat adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerangan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Jabatan Kebajikan dan Pengaduan Awam (JKPA), serta APM sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Madius, rakyat setempat yang ingin mendapatkan sebarang maklumat berkaitan Covid-19 boleh terus menghubungi talian 088-787 991.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan lain yang berkaitan seperti kekurangan bekalan air atau makanan di mana-mana kawasan di daerah ini.
“Marilah kita terus mematuhi arahan pihak berwajib untuk sentiasa mengawal pergerakan dan tinggal di dalam rumah.
“Awasi pergerakan anak-anak kecil, jaga kebersihan diri, semoga kita semua segera dapat menangani penularan wabak Covid-19 ini,” ujar Timbalan Ketua Menteri Sabah itu yang juga penasihat Bilik Gerakan Bencana Tuaran./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ