Cuba seludup minyak petrol, dua lelaki ditahan di Sandakan

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki selepas disyaki cuba menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran, di kawasan laut Gubbin Rock, di Sandakan petang semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Sandakan Sabah, DSP Rusdin Banin berkata pasukannya yang menjalankan risikan di lokasi kejadian mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan PPM bertindak memintas bot berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas barang yang dibawa oleh juragan terbabit.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lelaki termasuk juragan berumur 19 dan 40 tahun di dalam bot berkenaan,” katanya dalam laporan Utusan Borneo hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut berjaya menemukan beberapa jerikin yang mengandungi minyak petrol bersubsidi di dalam bot berkenaan.

Bagaimanapun, juragan bot gagal mengemukakan sebarang permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa minyak petrol tersebut.

“Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot berkenaan dianggarkan bernilai RM10,291.75 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Rusdin berkata PPM wilayah 4 Sabah mengalu-alukan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka.

“Maklumat boleh dilaporkan secara terus menggunakan aplikasi whatsapp kepada Pusat Komunikasi PPM Sabah ditalian 0139391197 atau berhubung terus dengan balai berdekatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *