Kursus Pengendalian Dron Sektor Pertanian inisiatif UMS tingkat kebolehpasaran graduan

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) menganjurkan kursus pengendalian dron dalam sektor pertanian bagi melatih graduan lepasan ijazah pelbagai bidang, baru-baru ini.

Pengarah PKPKP UMS, Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata, kursus yang dikenali sebagai Certified Drone Precision Agriculture Proficient itu diadakan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“PENJANA KPT-CAP ini merupakan inisiatif kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak COVID-19.

“Kita adakan kursus dron secara hibrid iaitu dalam talian dan secara fizikal dengan penyertaan seramai 33 peserta dari seluruh negara,” katanya.

Soon menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Soon, kursus itu melatih para peserta dalam operasi dron, pengumpulan data, pemprosesan data dan analisis data.

“Di samping itu, ia bagi melatih kemahiran penggunaan dron dalam sektor pertanian seperti penyemburan racun menggunakan dron, dan data analisis bagi ladang kelapa sawit dan sawah padi.

“Kursus tersebut dibentuk mengikut keperluan industri dan mendapat persijilan daripada The Institute for Drone Technology Australia serta mendapat sokongan oleh persijilan City & Guilds United Kingdom (UK).

“Kandungan program ini juga selari dengan program modular Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2: Pengendalian Dron (H512-001-2:2019),” jelasnya.

Mengulas lanjut, Soon yang juga merupakan pensyarah kanan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS memaklumkan, teknologi dron pada masa kini terutamanya penggunaan drone sprayer semakin mendapat tempat dalam sektor pertanian kerana dapat meningkatkan tahap kecekapan operasi dalam penyemburan racun perosak.

“Penggunaan drone sprayer mampu menjalankan proses penyemburan yang lebih efektif meliputi kawasan yang besar dalam masa yang singkat.

”Proses pemetaan menggunakan teknologi dron di ladang kelapa sawit dan sawah padi juga mampu memberikan analisa yang lebih tepat.

Sebahagian daripada peserta semasa kursus diadakan secara dalam talian.

“Analisa yang lebih tepat ini mampu memacu para peladang untuk membuat perancangan dan tindakan yang lebih sesuai dan proaktif untuk meningkatkan hasil tanaman,” kata Soon lagi.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi memastikan kelancaran program berkenaan.

”Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada PENJANA KPT-CAP, UMS, pihak industri iaitu SG Academy atas usaha dan kerjasama yang cukup komited dalam memastikan pelaksanaan program ini berjalan dengan jayanya.

“Kerjasama dan komitmen yang erat seumpama ini diharap diteruskan lagi pada masa akan datang ke arah melahirkan generasi yang berkebolehan seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *