KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol selepas menahan dua bot dengan membawa muatan sebanyak 51 tong dram berisi bahan bakar berkenaan, semalam.
Kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan oleh Unit Perisikan Zon Maritim Kudat yang berjaya mengesan aktiviti berkenaan kira-kira jam 1 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bertindak atas maklumat itu, aset ronda APMM, bot Kilat 48 segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan.
“Setiba di lokasi iaitu kira-kira 1.1 batu nautika barat laut Tanjung Meniagit, di sini dua bot mencurigakan dikesan sedang bergerak perlahan dalam gelap.
“Ketika cuba untuk mendekati bot suspek, kedua-dua bot itu bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek paya bakau berhampiran.
“Beberapa individu di atas bot bertindak terjun dan melarikan diri di kawasan paya bakau berdekatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dua bot suspek yang ditinggalkan berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui kira-kira 51 tong drum warna biru berisi minyak petrol dianggarkan lebih 10,000 liter.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang dokumen atau permit sah dibawa kedua-dua bot terbabit dan dipercayai semua minyak petrol yang dibawa adalah untuk diseludup keluar ke Filipina.
“Bot serta barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan selanjutnya,” katanya.
Jelas beliau lagi, keseluruhan nilai rampasan termasuk bot yang digunakan dianggarkan berjumlah RM70,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah.
“APMM meminta masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan perairan daerah ini supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ