SANDAKAN: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap udang di perairan Tanjung Semawang, di sini, Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia, pagi tadi.
Muhammad Nor Aiman Arif, 14, ditemui di pesisir pantai Tanjung Pisau, di sini, kira-kira 20 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, pada 6.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, mayat mangsa ditemui pada operasi yang memasuki hari keempat.
“Mangsa ditemui oleh orang awam di pesisir pantai Tanjung Pisau, 20 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan penemuan itu, Severinus berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan jam 10.50 pagi,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Nor Aiman dilaporkan hilang selepas keluar menangkap udang di laut bersama beberapa rakannya, kira-kira jam 5.30 pagi, Sabtu lalu.
Kehilangan mangsa disedari apabila mangsa tidak pulang ke rumah seperti biasa, menyebabkan keluarga dan penduduk kampung segera melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Operasi pencarian mangsa dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ