Cubaan seludup 6 tan buah dari negara sebelah digagalkan PPM

Cubaan menyeludup masuk lebih enam tan buah-buahan ke negara ini gagal selepas berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora Khas, di perairan laut Simpang Tiga, Pulau Sidam, di Tawau.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, sepasukan bot ronda PSC 14 mengesan pergerakan sebuah bot jongkong sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.  

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis  Mohd Nazari Ismail berkata pemeriksaan ke atas jongkong terbabit menemukan beberapa kotak kayu yang ditutup menggunakan kanvas.

“Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati kotak kayu berkenaan mengandungi pelbagai jenis buah-buahan disyaki dari negara jiran cuba dibawa masuk secara haram.

“Rampasan tersebut membabitkan 3,000 kilogram (kg) buah mangga, limau kasturi 400kg, avokado 2000kg dan buah naga 1,000kg dianggarkan bernilai RM30,600 dipercayai untuk pasaran di daerah ini,”katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, siasatan ke atas juragan tempatan bersama pembantunya masing-masing berumur 20 dan 50 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Jabatan Pertanian untuk membawa masuk buah-buahan berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk jongkong dan enjin berjumlah RM102,600, manakala kes tersebut disiasat mengikut Enakmen Peraturan Kuarantin Tumbuhan (Import dan Eksport) 1981.

“Kedua-dua suspek ditahan manakala kesemua buah-buahan tersebut dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut,”katanya.

Nazari berkata rampasan itu merupakan kejayaan kedua PPM Tawau selepas mematahkan cubaan penyeludupan buah-buahan jenis yang sama pada 16 Disember tahun lalu.

“Masyarakat pesisir pantai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui terdapat aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan.

“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi Whatsap PPM Wilayah 4 Sabah di  di talian 013-2831197 supaya tindakan dapat dilaksanakan dengan cepat sekaligus memastikan keselamatan masyarakat maritim sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya. -Utusan Borneo