ISMChallenge-I iktiraf Projek Pelajar UMS

Dua projek oleh kumpulan pelajar Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat pengiktirafan dalam pertandingan Cabaran Statistik/ Matematik Peringkat Kebangsaan Kali Pertama (ISMChallenge-I) yang disertai baru-baru ini.

Projek bertajuk “Perception about Gender Equality” oleh kumpulan pelajar tahun dua program Kejuruteraan Minyak dan Gas, yang terdiri daripada lima ahli iaitu Melvin Lai, Rainlee Damin, Dg Nur Nalisha, Muhammad Zulfadhli, dan Mohamad Jazli meraih hadiah saguhati bagi kategori Projek Literasi Statistik Antarabangsa (ISLP).

Turut meraih hadiah sama kumpulan pelajar tahun tiga program Kejuruteraan Minyak dan Gas yang terdiri daripada , Esther Christina, Priveqa Yaashini, Melven Tuesday, Nur Syamin, dan Ashrulnizam dengan tajuk projek “The best alternative way to reduce the usage of non-biodegradable substance”.

Hadiah utama bagi kategori tersebut dibolot oleh kumpulan pelajar tuan rumah, Universti Malaya dengan tajuk projek Awareness of ISM Members About The Endangered Species in Malaysia.

Pensyarah Kanan FKJ UMS, Dr Emma Suali yang merupakan penyelia bagi projek pelajar UMS tersebut berkata, walaupun pertama kali menyertai pertandingan tersebut, namun pelajar UMS masih mampu memberikan keputusan yang amat memberangsangkan.

“Pertandingan sebegini amat baik sebagai satu platform dalam mencungkil bakat-bakat para pelajar yang menyertai.

“Harapan saya agar para pelajar terus proaktif mengikuti aktiviti-aktiviti luar kelas yang membolehkan mereka mengaplikasi ilmu pengetahuan, menimba ilmu dan mengasah kemahiran kendiri,” katanya.

Bertemakan “Statistik Memacu Pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari”, pertandingan anjuran Institut Sains Matematik, UM dan Institut Statistik Malaysia yang berlangsung secara dalam talian itu merupakan platform kepada pelajar sarjana muda di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta berkongsi idea dan kreativiti mengenai bidang matematik dan statistik.

Terbahagi kepada dua kategori iaitu ISLP dan Non-ISLP, kategori ISLP memerlukan peserta untuk menjalankan tinjauan berkaitan alam sekitar, biologi dan pembangunan lestari, dan peserta dikehendaki membuat satu poster berdasarkan data statistik hasil tinjauan tersebut.

Kategori Non-ISLP pula memerlukan peserta untuk membuat satu projek video yang berhubung kait dengan statistik dan matematik.

Pemenang bagi setiap kategori kemudian terpilih untuk mewakili Malaysia bagi pertandingan ISLP 2021 peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *