Sebanyak 700 tong gas LPG dirampas selepas disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran di kedudukan sekitar 1.1 batu nautika barat daya Sungai Logpon, di sini, semalam.
Rampasan itu dilakukan oleh pasukan Zon Maritim Tawau yang menjalankan tugas Ops Sejahtera/Ops Cegah PTI Selatan di perairan negara kira-kira jam 6.15 petang.
Menurut Utusan Borneo, Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata sebelum itu, pasukannya mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah Sungai Logpon menuju ke Pulau Sebatik.
Katanya, pasukan Maritim bertindak memintas dan menjalankan pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa oleh bot kargo berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki warga asing yang merupakan tekong bot dan empat penumpang warga tempatan berumur 20 hingga 62 tahun.
“Penggeledahan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan sebanyak 700 tong gas LPG dengan berat 14 kilogram setiap tong,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, tekong terbabit telah mengemukakan permit untuk keperluan pemborong di Pulau Sebatik, namun barang kawalan tersebut dibawa secara berlebihan.
“Bot berkenaan hanya dibenarkan membawa sebanyak 260 tong sahaja seperti yang dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam permit.
“Kita mengesyaki kemungkinan suspek cuba menyeludup keluar barang kawalan tersebut berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang hampir dengan sempadan negara jiran,” katanya.
Katanya, kesemua suspek serta barang kawalan ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Nilai kelseluruhan barang rampasan termasuk bot dan barang kawalan berkenaan dianggarkan bernilai RM167,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Siva berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya di perairan Timur Sabah.
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi,”katanya.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad