Merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Januari 2022 yang memutuskan seorang pekerja rencam, Wong Kueng Hui, 27 tahun, yang mempunyai bapa warganegara Malaysia dan ibunya dipercayai warganegara Indonesia adalah rakyat negara ini, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik keputusan itu.
Oleh itu, UPKO berpandangan ia akan membawa berita baik kepada individu tersebut yang memerlukan penganugerahan taraf warganegara sebagai rakyat Malaysia.
UPKO berharap Kerajaan terutama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu. Malah, Mahkamah Rayuan juga telah mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 21 Oktober 2019.
UPKO juga mendapati keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membuka ruang kepada banyak lagi kes yang memerlukan perhatian yang adil dan berjiwa besar di pihak Kerajaan untuk diselesaikan. Keputusan kedua-dua peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sudah cukup memadai untuk memberikan Wong Kueng Hui dan mereka yang berada dalam dilema yang sama kewarganegaraan Malaysia.
Justeru itu, UPKO berharap Kerajaan akan menggunakan keputusan ini sebagai satu kes rujukan yang amat penting untuk menyelesaikan kes-kes yang serupa yang memerlukan tindakan penyelesaian jangka panjang.
Penyelesaian menyeluruh berhubung kes-kes seperti ini amat penting bagi menjaga keharmonian hidup individu-individu yang terlibat dalam kes-kes seperti ini. Kita tidak boleh menyerahkan kepada keputusan mahkamah semata-mata, sebaliknya Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, terutama Kerajaan Negeri Sabah dalam kes ini, perlu mengambil tindakan proaktif menyelesaikan kes-kes seperti ini.
Sekiranya perlu, undang-undang semasa perlu disemak dan dipinda bagi mengelakkan beban tidak wajar di pihak individu-individu seperti Wong Kueng Hui selepas ini.
*Wilfred Madius Tangau ialah Presiden UPKO dan Ahli Parlimen Tuaran.
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026