Cubaan sekumpulan penyeludup membawa masuk minuman keras tidak bercukai gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), di perairan laut Sipitang, di sini, awal pagi, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, kumpulan penyeludup berkenaan bagaimanapun dapat meloloskan diri dengan bertindak membuang beberapa kotak minuman keras dibawa ke dalam laut.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, ketika PPM menjalankan rondaan, pihaknya terserempak dengan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, bot berkenaan kemudian diarah berhenti tetapi tidak diendahkan dan sebaliknya mereka terus memecut laju.
“Bot itu memecut laju meninggalkan tempat kejadian sebelum meloloskan diri dalam keadaan gelap sehingga gagal dikesan.
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah kotak minuman keras terapung di permukaan air dipercayai dibuang oleh kumpulan suspek ketika dikejar anggota PPM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua minuman keras yang tidak bercukai itu disyaki cuba diseludup ke tanah besar Sabah.
“Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM7,362.36 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad