Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya mengekang satu cubaan penyeludupan minyak petrol di kawasan Tanjung Manimpa, di sini, semalam.
Bahan bakar bersubsidi itu yang dibawa menggunakan sebuah bot laju berjaya dikesan PPM dalam operasi pemantauan di kawasan berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, sebuah bot dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba ditahan pasukan rondaan PPM.
Bagaimanapun katanya, bot laju berkenaan terus memecut laju ke kawasan bakau Tanjung Manimpa sebelum pemandu bot dilihat bertindak terjun ke laut dan menghilangkan diri.
“Pemeriksaan lanjut terhadap bot laju itu menemui beberapa tong berisi minyak petrol dan sebuah tong gas.
“Semua barangan bersubsidi berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohammad berkata, semua barangan yang dianggarkan bernilai RM16,787.50 itu terus dirampas dan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Semporna.
“Semua barang rampasan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah.
Katanya, semua maklumat boleh disalurkan secara terus menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ