Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai menghormati dan mentaati keputusan parti yang menarik sokongan kepada kepimpinan kerajaan Muhyiddin Yassin.
“Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah LTAT,” katanya
Beliau turut berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob kerana melantiknya memegang jawatan berkenaan.
Peletakan jawatan oleh pemimpin Umno dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah yang kedua selepas Naib Presidennya, Mohamed Khaled Nordin meletak jawatan sebagai pengerusi Boustead Holding Berhad.
Pada Selasa, Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli. Beliau memaklumkan ia dibuat selepas mengambil kira keputusan pucuk pimpinan Umno. Tindakan itu menjadikan beliau sebagai Menteri Umno pertama berundur daripada kerajaan Perikatan Nasional.
Tidak lama selepas itu, pada hari sama mesyuarat MKT Umno sebulat suara menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan Umno.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong