Cubaan tapuk-tapuk bawa keluar minyak digagalkan, juragan ditahan PPM Sandakan

Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan seorang lelaki kerana membawa barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut Pamaguan di sini, awal pagi kelmarin.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, pasukan yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan mendapati bot suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan mendapati seorang juragan lelaki berumur 34 tahun berada di dalam bot berkenaan yang membawa barang kawalan iaitu beberapa jerikin minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM811.80. Nilai rampasan termasuk bot yang digunakan berjumlah RM14,511.80,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Sabah360 Online.

Beliau berkata, jurangan terbabit gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barang berkenaan.

Katanya, tangkapan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Rusdin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat maritim dan pesisir pantai untuk menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 013-9391197.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *