Rumah musnah akibat terbakar di Tawau, nasib tiada kemalangan jiwa

Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Damai, Tawau pagi tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.22 pagi.

“Seramai 21 anggota dan pegawai bomba daripada  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadam dan menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal telah terbakar hampir keseluruhannya,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memadam menggunakan sumber air daripada pili bomba berdekatan.

“Pasukan bomba dapat mengawal kebakaran kira-kira jam 7.39 pagi dan operasi berjaya ditamatkan kira-kira satu jam kemudiannya.

“Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut,” katanya.

Katanya, siasatan akan dijalankan oleh pasukan bomba untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa.