KOTA KINABALU: Sabah Electricity kerugian kira-kira RM30 juta setahun akibat perbuatan penyambungan haram elektrik atau curi karan.
Menerusi satu kenyataan, di sini, syarikat itu mendedahkan kerugian berkenaan mewakili kira-kira dua peratus daripada kehilangan tenaga dalam sistem grid.
Berikutan itu, Sabah Electricity meneruskan usaha membanteras penyambungan haram elektrik bagi mengukuhkan bekalan tenaga di Sabah pada tahun ini.

“Sabah Electricity bertekad untuk meneruskan momentum dalam membanteras sambungan haram di seluruh Sabah.
“Berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 1,000 operasi dilaksanakan, masing-masing 200 Op Bersepadu dan 800 lagi Op Dalaman.
“Dianggarkan kadar ‘System Loss’ yang berpunca daripada sambungan haram adalah dua peratus bersamaan dengan RM30 juta kerugian setahun,” kata kenyataan itu.
Terbaharu, Sabah Electricity bersama beberapa agensi melancarkan satu Operasi Bersepadu membanteras kegiatan sambungan haram pada 18 Februari lalu di sekitar ibu negeri.

Antara agensi yang terbabit ialah Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Operasi itu turut disertai sendiri pihak pengurusan Sabah Electricity yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.
Sepanjang operasi itu, kira-kira 50 rumah dikesan memiliki penyambungan haram bagi mendapatkan bekalan elektrik secara tidak sah.
Katanya, Op Bersepadu itu turut merampas kira-kira 800 kilogram wayar aluminium yang digunakan untuk penyambungan haram.
“Sabah Electricity akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati terbabit dengan kegiatan penyambungan atau pengusikan pepasangan Sabah Electricity.
“Ia selari dengan peruntukan Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik. Seluruh warga Sabah diminta agar dapat melaporkan dan bertindak bersama dalam usaha memberhentikan kegiatan sambungan haram ini,” katanya.
Kegiatan itu katanya adalah satu jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ