KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, agar Sarawak membekalkan tenaga elektrik ke Selatan Filipina.
Beliau berkata, langkah ini bukan sahaja membuka peluang perniagaan bagi Sarawak Energy Berhad (SEB) dan memberi manfaat kepada negara jiran, tetapi juga akan mempercepatkan penyambungan grid antara Sabah dan Sarawak.
“Dalam konteks ini, kami di Sabah Electricity sudahpun siap membina grid Sabah untuk disambung ke Sarawak. Kini, kami menunggu pihak Sarawak melengkapkan pembinaan grid mereka agar dapat disambungkan ke grid Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, perjanjian jual beli elektrik antara Sabah dan Sarawak telah ditandatangani sejak sekian lama, membabitkan pembelian tenaga elektrik bermula dengan 30MW dan meningkat kepada 50MW dalam tempoh lima tahun.
“Kami berhasrat untuk meningkatkan kapasiti ini sehingga 100MW bergantung kepada keupayaan Sarawak dalam membekalkan tenaga. Namun, urusan jual beli ini memerlukan penyambungan grid antara kedua wilayah terlebih dahulu,” tambahnya.
Madius turut menekankan kepentingan Projek Southern Link yang melibatkan pembinaan talian penghantaran sepanjang 330 kilometer dari Sipitang ke Tenom dan seterusnya ke Kalabakan dan Tawau. Projek ini akan meningkatkan kestabilan bekalan elektrik Sabah dan memperkukuh jaringan tenaga di rantau ini.
“Sebagai wilayah berjiran, hubungan Sabah dan Sarawak boleh diibaratkan seperti adik-beradik. Kita sentiasa mengekalkan hubungan kerjasama yang baik dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga,” ujarnya.
Beliau yakin bahawa inisiatif terbaru ini akan terus mengukuhkan kerjasama antara Sabah dan Sarawak serta memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
“Sekali lagi, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas visi dan dukungan beliau dalam usaha ini. Terima kasih juga kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas inisiatif ini. Dengan kerjasama bersepadu, kita dapat membina masa depan yang lebih sejahtera untuk semua,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ