Dari Dewan Rakyat, Suara Madius diangkat ke Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Saranan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau agar perkara 97 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda diangkat sekali lagi dalam Persidangan Dewan Negara.

Semasa berbahas dalam Persidangan Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu, Presiden Kehormat UPKO itu meminta  kerajaan agar membuat pindaan tersebut bagi membolehkan Kerajaan Sabah memungut 40% hasil secara langsung.

Beliau menyatakan bahawa pindaan ini adalah penting untuk menghapuskan sebarang kekeliruan berkaitan dengan interpretasi Pemberian Khas di bawah Perkara 112 C dan Perkara 112 D Perlembagaan Persekutuan.

Madius menegaskan bahawa Seksyen 2 (1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh serta Seksyen (1)(a) Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan merupakan hak perlembagaan Sabah.

“Pemberian Khas di bawah Perkara 112 C dan Perkara 112 D menyatakan bahawa ⅖ atau 40% daripada jumlah pungutan hasil Persekutuan daripada Sabah harus diberikan kepada Sabah.

“Hak ini tidak seharusnya dikelirukan dengan interpretasi lain kerana sumber perundangan ini adalah pra-syarat yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Sabah terdahulu semasa membentuk negara baru bernama Malaysia pada tahun 1963.

“Pemberian khas RM600 juta dalam Bajet 2025 hanya merupakan pemberian interim, dan mekanisme untuk menentukan kuantum 40% seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan Sabah perlu diteliti dan dipertimbangkan dengan penuh semangat keadilan, keikhlasan dalam tadbir urus, serta semangat membina Malaysia yang bersatu, makmur, dan matang dalam perpaduan,” katanya.

Dalam persidangan Dewan Negara, saranan itu diangkat semula oleh Senator Datuk Edward Linggu dalam perbahasannya selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada 10 Disember lalu.

Katanya pindaan itu untuk memberi Kerajaan Sabah kuasa mengutip hasil sebelum membuat pengagihan 60 peratus kepada Persekutuan dan 40 peratus kepada Sabah.

“Ia bukan sahaja memudahkan malah mengurangkan tugas Kerajaan Persekutuan, sekali gus menjimatkan kos kakitangan Persekutuan untuk membuat kutipan hasil di Sabah.

“Demi membantu Kerajaan Pusat, Sabah bersedia membantu membuat kutipan untuk meringankan bebanan serta tanggungan kerja pentadbiran Kerajaan Pusat,” tambah Edward.