Presiden UPKO bidas Sabah lewat kemuka usul tuntut 40% hasil cukai

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mendesak kerajaan Sabah menjelaskan kelewatan mengemukakan usul menuntut 40% hasil cukai negeri.

“Sarawak kemukakan usul pada Februari, manakala Upko juga telah kemuka cadangan kepada ketua menteri pada Januari. Kenapa kerajaan negeri tak boleh buat perkara sama?

“Saya harap usul akan dikemukakan pada Februari, supaya kita boleh bincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal pada Mei, tetapi ketika mesyuarat itu, Jeffrey berkata, kerajaan negeri hanya akan kemukakan usul pada Jun,” kata Ewon, merujuk kepada Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan.

“Kenapa mereka hanya kemuka (usul) pada 18 Jun? Saya tak dapat jelaskan bagi pihak mereka. (Jeffrey) kata, tiada kemajuan … kemajuan mesti mula daripada kerajaan negeri. Ini urusan kerajaan dengan kerajaan.

Ewon berkata demikian sebagai respons terhadap komen bahawa beliau tidak bersuara mengenai kelewatan itu, lapor The Borneo Post.

Ahli Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu berkata, usul itu sepatutnya dibincangkan pada 28 Mei, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kerajaan Sabah belum bersedia.

Katanya, usul itu akhirnya dikemukakan sebulan sebelum tarikh akhir 18 Julai, beberapa bulan selepas pihak berkepentingan lain mengemukakan usul mereka.