Data kematian akibat Covid-19 tidak ngam, dakwa Tiong

Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing sekali lagi mengecam Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani wabak Covid-19, kali ini membayangkan bahawa data kematian dan kes jangkitan dimanipulasi oleh “tangan-tangan ghaib”.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tiong berkata sejumlah 31,696 kematian (setakat 10 Jan) akibat Covid-19 di negara ini hanyalah angka yang dilaporkan dan diterbitkan.

“Lebih menyayat hati jika ditambah bilangan yang tak dilaporkan. Kadar kematian yang tinggi ini bukanlah sesuatu yang boleh kita nafikan, maafkan atau normalisasikan.

“Bagaimana kita boleh terus begini? Berapa banyak lagi nyawa yang perlu dikorbankan sebelum menteri kita benar-benar mula mencegah lebih banyak kematian?

“Ia tidak perlu seorang genius untuk tahu bahawa data mengenai kematian dan kes yang disahkan sedang dimanipulasi oleh beberapa tangan ghaib,” katanya.

Dia bagaimanapun tidak menghuraikan perkara itu atau memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

Tiong, yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China, sebelum ini beberapa kali mengkritik isu pengendalian wabak Covid-19 di Malaysia.

Pada Isnin lalu, dia membidas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kerana tidak mengambil iktibar daripada China dalam menangani wabak itu.

Ini membawa kepada respons Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang menjelaskan bahawa strategi kerajaan untuk membendung wabak itu adalah dengan melaksanakan strategi mitigasi.

Ini berbeza dengan strategi ‘Sifar Covid’ di China yang membawa kepada penutupan menyeluruh di kawasan yang hanya mempunyai beberapa kes positif.

Khairy berkata Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penularan Covid-19.

Tiong berkata dia terkejut dengan jawapan Khairy dengan mendakwa menteri itu tidak menjawab soalannya.

“Saya hanya menggesa Kementerian Kesihatan untuk sekurang-kurangnya berkomunikasi dengan China untuk mengguna pakai bahagian yang sesuai dan berkesan dalam strategi mereka untuk mengurangkan kadar kematian akibat Covid di Malaysia, dan bukannya mengubah kadar kematian untuk mewajarkan strategi KKM,” katanya. .

Tiong pernah mengecam Noor Hisham sebelum ini dengan mendakwa ketua pengarah kesihatan itu “takut mati” kerana tidak melawat Sabah ketika kemuncak penularan wabak Covid-19 pada Nov 2020.

“Apabila Selangor mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi pada 2020 disebabkan kluster yang besar di beberapa kilang sarung tangan, adakah Noor Hisham ada strategi tindak balas pantas terhadap itu?

“Selain tidak berdaya menghalang jangkitan merebak satu demi satu, kilang-kilang disuruh tutup secara berperingkat, sementara nyawa manusia terancam.

“Di negara lain, kecuaian sedemikian akan menyebabkan menteri dan pengarah (kesihatan) terpaksa melepaskan jawatan serta-merta. Di Malaysia, dia dipuji kerana mengambil jalan mudah dan melakukan sesuatu secara ‘berperingkat’,” katanya.

Dia menggesa Khairy memberikan penjelasan mengenai dakwaan reaksi Malaysia yang tidak seimbang terhadap China; dan data bilangan dos vaksin yang dibeli oleh KKM sejak Khairy memegang jawatan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *