DBKK kasi keluar lima notis dan satu kompaun di KK semalam

Sebanyak lima notis pematuhan dan satu kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan Anjung Samudera Waterfront, di sini, semalam.

Operasi yang diadakan sekitar jam 9 malam itu dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Operasi Nur Atiqah Mamud berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 11 premis menjual makanan yang beroperasi diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa premis masih gagal dalam mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak KKM.

“Dalam operasi ini, kita memeriksa sebanyak 11 premis makanan dan mendapati beberapa premis masih gagal dalam mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak KKM.

“Jabatan Pelesenan DBKK kemudiannya mengeluarkan lima notis pematuhan syarat-syarat lesen coffee house kepada pemilik yang didapati gagal mematuhi lesen ditetapkan,” katanya.

Nur Atiqah berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu notis mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau – Perkara 14 (1) disebabkan kesalahan Gagal Mempamerkan Tanda Larangan Menjual Hasil Tembakau Kepada Orang Belum Dewasa dan 1 notis mengikut Perkara 12 (1) (B) iaitu Gagal Memastikan Tiada Seorang Pun Merokok Di Dalam Premis.

“Satu lagi notis kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit turut diberikan kepada individu yang gagal mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Sementara itu, Nur Atiqah berkata, operasi berkenaan dikendalikan lima orang anggota Jabatan Pelesenan, sembilan anggota kakitangan KKM diketuai Sundusin Nganro.

Selain itu katanya, operasi turut dibantu pasukan PDRM diketuai Asisten Superintendan Norul Azlan Mohd Nawi dari IPD Kota Kinabalu bersama lapan anggota.

“Jabatan Penguatkuasa DBKK pula diketuai Mukti Abdul Muchlish bersama sembilan anggota turut serta dalam operasi bersepadu ini,” katanya. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *