Surat kebenaran sekolah boleh pakai untuk ibu bapa rentas sempadan

Ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tidak memerlukan permit polis khas dan hanya perlu menunjukkan surat dikeluarkan sekolah jika dihentikan di sekatan jalan raya, kata menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, ibu bapa yang perlu merentas sempadan daerah atau negeri untuk menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh, contohnya, tidak memerlukan kebenaran polis.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan individu yang perlu merentas sempadan daerah atau negeri perlu meminta kebenaran di balai polis.

Tambahnya, perkara itu sudah dibincangkan bersama pihak polis.

“Saya menjangkakan tiada masalah di sekatan jalan raya apabila ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga akan membenarkan aktiviti mesyuarat, insensitf, konvensyen dan pameran di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, tertakluk kepada kapasiti 25% atau maksimum 250 orang, yang mana lebih rendah, mulai 5 Mac.

“Selepas mendapat pandangan semua anggota jawatankuasa teknikal dan kementerian kesihatan, kami bersetuju membenarkan aktiviti berkenaan termasuk mesyuarat secara bersemuka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) membentangkan bahawa hasil dari industri MICE bagi tahun 2020 menurun kepada RM2.25 bilion iaitu berkurangan sehingga 90% berbanding 2019 yang menyumbang sebanyak RM9.25 bilion kepada ekonomi negara.

Dalam pekembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg Darau Awek, Kg Padang Baloh & Kg Lepan Kejor, Pasir Akar, Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat pada 27 Feb 2021.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kg Darau-Awek, Kg Padang Baloh dan Kg Lepan Kejor, Pasir Akar, Besut, Terengganu pada tarikh tersebut.

PDRM turut menahan 460 individu atas kesalahan mengingkari SOP.

Daripada jumlah itu, 388 telah dikompaun manakala 70 individu direman dan dua (2) dijamin.

Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri/pelanggan (135), tiada penjarakan fizikal (109), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (68), tidak memakai pelitup muka (63), aktiviti pelacuran/rumah urut (20), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (20) , aktiviti pusat hiburan (12) dan lain-lain (33).

Semalam, Op Benteng telah berjaya menahan 23 orang PATI, dua (2) tekong serta merampas 11 buah kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *