Kota Kinabalu: Lapan penjaja yang menjalankan aktiviti menjaja di sekitar kawasan tepi jalan Aeropod Tanjung Aru di sini dikenakan tindakan selepas didapati gagal menunjukkan lesen penjaja yang sah.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu termasuklah menyita peralatan-peralatan penjaja selain diberi amaran keras agar tidak menjalankan aktiviti menjaja di kawasan berkenaan.
Operasi bersepadu yang dijalankan pada 15 Mac lalu itu dilaksanakan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

“Operasi bersepadu ini dijalankan bermula jam 10 malam dan disertai seramai 15 anggota DBKK, yang terdiri daripada empat anggota Bahagian Lesen Penjaja, Jabatan Pelesenan dan 11 anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan.
“Operasi ini berjaya mengenal pasti sebanyak lapan penjaja tanpa lesen sedang menjalankan aktiviti menjaja di sekitar kawasan berkenaan, yang juga merupakan tempat larangan menjaja.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, kesemua mereka gagal untuk menunjukkan lesen penjaja yang dikeluarkan oleh pihak DBKK. Susulan itu, DBKK telah bertindak untuk menyita peralatan-peralatan penjaja.
“Para penjaja turut diberi amaran keras agar tidak lagi menjalankan aktiviti menjaja di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu di sini semalam.
Ketegasan DBKK dalam membanteras penjaja haram ini perlu dilihat dari segi komitmen untuk menjaga kepentingan awam agar aspek keselamatan di lokasi adalah terjamin, kebersihan dipantau dan kesihatan orang awam akan lebih terjaga. – SABAH MEDIA
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan