Guna dokumen palsu kemuka tuntutan, pengarah operasi institut latihan didenda RM60,000

KOTA KINABALU: Seorang pengarah operasi sebuah institut latihan kemahiran swasta didenda RM60,000 atau penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan sebanyak RM469,050 bagi pelaksanaan program latihan kemahiran.

Hakim Mahkamah Sesyen pada Selasa (18 Mac), Jason Juga, menjatuhkan hukuman itu terhadap Ag Ruzi Ag Tahir, 55, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif yang ditawarkan kepadanya.

Ag Ruzi mengaku dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu satu invois bertarikh 25 Januari 2018, yang mengandungi mengandungi butir matan “Tuntutan Melaksanakan Program Peningkatan Kapasiti Dan Kapabiliti Khusus Latihan Kemahiran Tahun 2017 bagi program Welding 6G Level 3 berjumlah RM 469,050.”

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Februari 2018 di pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Wisma Sedia, di Jalan Pintas, Penampang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan utama terhadapnya di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditarik balik selepas Ag Ruzi mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif.

Ag Ruzi membayar denda tersebut.

Berdasarkan fakta kes, Program Peningkatan Kapasiti & Kapabiliti Kumpulan Khusus adalah satu program dari Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mana peruntukan adalah dari Kerajaan Pusat yang disalurkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) seluruh Malaysia. Program ini adalah berkaitan dengan pembangunan modal insan melalui perlaksanaan program latihan kemahiran kepada golongan sasaran (B40) untuk Negeri Sabah.

Tertuduh sebagai Pengarah Operasi sebuah institut latihan kemahiran swasta telah mengemukakan tuntutan kewangan kepada UPEN bagi pelaksanaan program tersebut tetapi menggunakan invois palsu sebagai dokumen sah.

Hasil siasatan mendapati hanya Kursus Latihan Perancah (Scaffolding) Tahap 1 telah dijalankan, manakala Latihan kemahiran Welding 6G Level 3 tiada dilaksanakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah, manakala Ag Ruzi diwakili peguam Arthur Borine. –SABAH MEDIA