DEGIL, MINUM MINUMAN KERAS BELAKANG RESTORAN

BEAUFORT: Meskipun sedar risiko ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tiga lelaki bukan sahaja degil malah melepak sambil menikmati minuman keras di belakang sebuah restoran di Beaufort Jaya, di sini, semalam.

Bagaimanapun tindakan tiga lelaki berusia 23, 24 dan 26 tahun menerima padah apabila ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dalam Op Covid-19, kira-kira jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek terbabit sedang berkumpul dan meminum minuman keras di belakang sebuah restoran.

“Ketika ditahan dan diperiksa mereka gagal memberikan alasan yang munasabah berada di kawasan berkenaan.

“Semua suspek mengetahui akan PKP yang sedang dikuatkuasakan dan faham akan implikasi dan kesan sekirannya ingkar dengan PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, akibat tindakan itu, ketiga-tiga suspek ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Melalui pengakuan semua suspek, mereka mengetahui arahan yang dikuatkuasakan ini tetapi suspek keluar rumah dan berada di dalam kawasan tanpa alasan munasabah.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya./BERITA SABAH